Sekalipun
menganggap cadangan Anwar Ibrahim untuk berdialog dengan kerajaan
sebagai cadangan baik, Pemuda PAS bagaimanapun "musykil" mengapa ketua
umum PKR itu beriya-iya untuk berbuat demikian.
Sedangkan
sebelum ini, kata naib ketua dewan itu Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob ,
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti Islam itu
teruk dikritik ketika mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan.
"Tanggungjawab
membina negara adalah amanah yang perlu dipikul bersama dan setiap
pemimpin perlu merasa prihatin terhadap pergolakan negara dengan
memberikan respons atau sebarang kerjasama.
"Namun
begitu, Pemuda PAS merasa musykil mengapa Datuk Seri Anwar begitu
beriya-iya mengajak kerajaan berbincang sedangkan sebelum ini begitu
teruk Presiden PAS dan pimpinan PAS yang lain dihentam ketika cadangan
mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan," katanya.
Sehubungan
itu, Raja Ahmad mengingatkan Anwar supaya berhati-hati dengan permainan
politik musuh dan dewan itu bimbang jika beliau terperangkap dengan
politik "golongan berkepentingan".
Jumaat
lalu, Anwar yang juga ketua pembangkang mengajak diadakan dialog
terbuka antara kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu-isu
kebangsaan yang perlu ditangani.
Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi.
Menteri
Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menganggap saranan Anwar sebagai
"tindakan terdesak" manakala Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk
Seri Mohamed Nazri Aziz mengesyorkan usul dialog itu dibawa ke
persidangan Dewan Rakyat.
Dalam
kenyataannya hari ini, Raja Ahmad juga berharap Anwar merujuk sebarang
keputusan dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan
sebarang kenyataan untuk bertemu dengan kerajaan BN.
Beliau
turut berharap Majlis Presiden Pakatan serta pimpinan Pakatan meneliti
cadangan Anwar serta mendokong usaha kerjasama dan perbincangan
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan