salam

Sabtu, 19 Oktober 2013

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA


A086 Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).
(Az-Zukhruf 43:86) |
A087 Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?
(Az-Zukhruf 43:87)
A088 Dan (Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!"
(Az-Zukhruf 43:88
A089 (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ' Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! "
(Az-Zukhruf 43:89


                      
 Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah Allah
seakan dipermainkan. Kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an
dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar
sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah
SWT yang Maha Agung.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh.
Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’ al-
Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raf ayat 180:
“Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.
Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah Allah
sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru
dan mengejutkan di dalam agama Islam. Malah al-Qur’an sendiri pernah
merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan
Islam.
Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik
tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu.
Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan
dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang
perihal turunnya ayat ini.
Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak
Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi
pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula
mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas
Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad
bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu
tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”
.
Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa
itu Allah? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui
dan dimengerti, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah
Allah.
Bagi membincangkan lebih lanjut isu ini, penulis bentangkan di sini hujjah-hujjah
yang menjelaskan apakah sebenarnya hakikat kalimah Allah SWT menurut
pemikiran dan aqidah Islam. Apakah signifikannya Allah SWT menjadikan kalimah
tersebut sebagai merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Agung?
1. Kalimah Allah menurut satu pendapat yang lemah ialah kata nama yang kaku
(jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar
tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang
tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula
ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua
kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidak mempunyai
sebarang maksud di sebalik penamaannya.
2. Bagaimanapun pendapat yang benar, kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang
mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal
kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimah alahaya’lahu-
uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan .  Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan  iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah yang bermaksud ma’luh  iaitu “yang
disembah” (ma‘bud).
Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki (sifat)
ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk-
Nya”.

Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al-
Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah.
Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf
lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua. Kemudian terbentuk satu lam
yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang
mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli
bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang
berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh
makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi.
Orang yang mengatakan bahawa ia adalah kata terbitan, mereka mahu
menunjukkan kalimah Allah itu mengandungi makna sifat bagi Allah SWT. Iaitu alilahiyyah
(ketuhanan) sebagaimana al-Asma’ al-Husna yang lainnya seperti al-Basir
(Maha Melihat), al-Sami‘ (Maha Mendengar), al-Qadir (Maha Berkuasa), al-‘Alim
(Maha Mengetahui) dan sebagainya.
Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada kata
dasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama
tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan
kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya
cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu
dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir
daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya
mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.
Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kata al-ilah.
Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmu saraf
bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan kata ilah
adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan ‘ain
al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing
digabungkan kepada yang lain.
Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran)
kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a.
bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu
syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

3. Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa
diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis.
Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata:
Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam menerangkan keistimewaan nama Allah menyebut: “Nama yang mulia ini memiliki sepuluh karakteristik lafaz…tentang karateristik
maknawinya, makhluk Allah yang paling berilmu, iaitu Rasulullah SAW bersabda:
Aku tidak dapat memuji Engkau sepenuh dan sesempurna yang semestinya. Engkau
sebagaimana Engkau memuji diri-Mu
(selesai sabda).
Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu
menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan
disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan,
pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan
musibah yang menimpa.
Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah
yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata.
Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang
yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara
oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang
Maha Agung itu.
Oleh itu keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah
dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam
mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat
bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah
Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat
Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh
5 Disember 1986.
Sumber,
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...