Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata perkara itu dilihat perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.
"Seksyen ini hanya mengkhususkan kepada proses pembuatan keputusan kepada mana-mana pihak yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan individu tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Khas Sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM ke-46, di sini hari ini.
Menurutnya undang-undang baharu itu dilihat perlu memandangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara terdapat beberapa keputusan yang diambil oleh pegawai kerajaan mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.
Dengan adanya undang-undang baharu itu, SPRM akan dapat mendakwa individu yang membelakangkan kepentingan awam sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada rakyat, katanya.
Beliau berkata SPRM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara serta pihak yang berkaitan mengenai cadangan itu.
Sementara itu, Abu Kasim berkata SPRM telah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara untuk mengenakan tindakan ke atas anggota lembaga pengarah syarikat yang membenarkan perlakuan rasuah dalam syarikatnya.
"Kita cadangkan perkara ini jadi satu kesalahan kerana kita nak mengubah budaya dalam masyarakat kita bahawa selain daripada yang menerima dan yang memberi, pihak yang membenarkan pemberian itu juga bertanggunggjawab atas kesalahan tersebut," katanya.
Sambutan ulang tahun dengan tema 'Transformasi Menjana Kenggulan' itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Shukri Abdul.
Pada majlis itu, Abu Kasim turut berucap dan berhubung melalui telesidang dengan warga SPRM di seluruh negara. - Bernama
TETAPI YANG LAMA TAK DISELESAIKAN YANG BARU MAKIN BERTAMBAH MERUGIKAN KEPENTINGAN AWAM DAN NEGARA
Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang mendapati kepincangan dalam pentadbiran Kerajaan BN yang dikepalai Dato' Seri Najib Tun Razak.
Apakan daya, LKAN dikeluarkan setiap tahun tidak pernah menceritakan yang indah-in dah, sebaliknya semua berkisar kepada ketirisan.
Jika suatu ketika dahulu, LKAN tidak menjadi topik utama kepada media untuk dibicarakan. Namun sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, LKAN menjadi tumpuan utama, dan ada media-media yang menjadikan isu-isu dalam LKAn sebagai fokus utama mereka bagi menarik perhatian pembaca khasnya media yang bebas tapisannya.
B agaimanapun, ramai yang melihat pendedahan ini hanya sekadar pendedahan semasa, akhirnya yang meniriskan kewangan negara sama ada pegawai, kakitangan awam, setiausaha kementerian, timbalan menteri dan menteri mahupun kontraktor kroni pemunya kontrak dan projek tidakpun diheret ke muka pengadilan.
Setakat ini hanya skandal Pusat Fidlot Negara (NFC), skandal PKFZ sahaja yang menjadi tumpuan selepas pembangkang khasnya individu bernama Rafizi Ramli mendedahkan penyelewengan di sebalik skandal NFC.
Di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang seharusnya menjadi benteng utama kepada usaha membendung rasuah yang menjadi punca ketirisan kewangan kerajaan?
SPRM mudah menyebut bahawa jika tiada laporan kepada mereka, mereka tidak akan siasat.Setakat ini hanya memberi komitmen 15 kes akan disiasat, itupun selepas pendedahan mega oleh akhbar berhubung ketirisan yang dilapor LKAN 2012.
Mana taring SPRM yang seharusnya menggigit perasuah agar tidak mampu bergerak membarah nanah dalam pentadbiran negara.
Apakah SPRM 'buat-buat tidak nampak' dengan kes seorang kakitangan kementerian yang membuat tuntutan perjalanan ke Geneva melebihi RM300,000 sedangkan kos sepatutnya sekitar RM50,000?
Atau SPRM seolah-olah buat tak nampak dengan kes leburnya RM2 bilion dalam Projek Kawalan Keselamatan (PKK) sekolah-sekolah?
Atau SPRM buatbuat tak nampak bagaimana hilangnya RM1.33 juta membabitkan aset polis khasnya hilangnya 44 laras pistol yang didakwa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar hilang kerana jatuh dalam sungai?
Atau kes kehilangan 29 buah kenderaan polis akibat jatuh dalam laut atau sungai jika mahu digunakan semula kenyataan Khalid Abu Bakar dalam kes pistol sebagai logik sahaja kepada SPRM untuk didiamkan kes ini?
Atau sebenarnya SPRM sendiri harus diaudit sebaiknya sebelum semua jabatan kerajaan yang lain diaudit dan diambil tindakan berdasarkan kes-kes yang berlaku?
Lebih dari itu siapakah yang mampu mengaudit secara jujurnya kesemua jabatan kerajaan sekiranya di sana masih lagi tersangkut kepentingan BN dalam semua urusan kerajaan, termasuk soal tender, projek dan peruntukan yang diberikan khas kepada UmnoPutera?
Umpama mengaudit perompak, dalam kes audit ini sejujurnya Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan pasukannya mungkin telah melakukan yang terbaik berdasarkan kepada keterbatasannya dalam mengaudit pentadbiran kerajaan BN yang menjadi majikannya.
Sedang dalam masa yang sama, majikannya adalah ‘perompak’ yang sudah tegar dan biasa membudayakan ‘rompakan’ terancang harta negara untuk menyumbatkan kekayaan kepada sebilangan Umno- Putera seperti Nedim Nazri Aziz yang memiliki banglo RM7 juta, dan anak-anak Najib yang memiliki saham berjuta dalam beberapa syarikat utama negara.
Ataupun siapa berani menghalang dan mengaudit punca kekayaan yang dimiliki Mahmud Bekir Tan Sri Taib Mahmud yang memiliki aset melebihi RM1 bilion seperti didedah dalam kes penceraiannya dengan Shahnaz Majid?
Semuanya SPRM tidak akan pandang sebagai sebuah kes besar, sedang SPRM sendiri terpaksa meneguk kejahatan majikannya yang bernama Kerajaan BN.
Senarai pembaziran LKAN 2012:
1. RM2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM 3.689 bilion Projek Kawalan Keselamatan Sekolah (PKK) tidak mencapai matlamat.
2. Peruntukan RM1.42 bilion dari jumlah peruntukan RM1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Walaupun lebih 96 peratus peruntukan telah digunapakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap.
3. Dari tahun 2006 hingga Disember 2012, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah membelanjakan RM800.3 juta untuk mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bersama Telekom Malaysia. Laporan ini menunjukkan hampir RM41 juta pembayaran yang tidak patut atau berlebihan, termasuk sesi latihan di Geneva untuk seorang pegawai kanan kementerian, berjumlah RM303,813 untuk 4 hari.
4. Projek-projek infrastruktur lain seperti Projek Pembetungan Negara (RM744 juta dibelanjakan), Kolej ATM di Port Dickson (RM190 juta dibelanjakan), Pusat Pemprosesan, Pengeluaran dan Gudang di Bangi (RM94 juta diperuntukkan) di mana kesemuanya mencatatkan kehilangan antara 16 peratus dan 20 peratus jumlah peruntukan akibat kelewatan projek disebabkan kekurangan perancangan awal dan pemantauan projek.
5. Kelewatan Lembaga Hasil Dalam Negeri memungut cukai dari syarikatsyarikat perniagaan mengakibatkan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM62 juta.
6. Pembelian 5 Beechcraft King Air 350 berjumlah RM175.24 juta, yang tidak dapat dimanfaatkan kerana juruterbang dan juruteknik telah dilatih menggunakan modul latihan yang tidak diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.
7. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, peningkatan yang cukup tinggi dari peruntukan asal RM15 juta; di mana RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-pop.
8. Polis Diraja Malaysia kehilangan aset berjumlah RM 1.33 juta, termasuk 156 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan, 26 set walkie-talkie, dan 22 buat radio.
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan