P embunuhan pegawai tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di pulau bebas cukai Langkawi, kata ahli keluarganya kepada The Malaysian Insider.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim (gambar) ditembak mati di Putrajaya pada 26 April, beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan pistol tersebar ke seluruh negara.
“Pembunuhan bapa saya dirancang, ia ada kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di langkawi," kata Mohd Akhtar Shaharuddin kepada The Malaysian Insider minggu ini.
Malah beliau sendiri yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri."Saya pasti akan hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.
"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau
terhadap penyelewangan kuasa pegawai kastam yang terlibat dalam rasuah
ini berkaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.
"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran
kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam
campurtangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.
Sebulan selepas itu, Shaharuddin ditembak ketika sedang memandu ke pejabatnya di Putrajaya."Tidak
ada siapa faham kehilangan orang tersayang dengan cara kejam begini
kecuali bagi mereka yang pernah melalui sendiri kerana itu saya amat
berharap kematian bapa dibela," katanya.
Yang lebih menyedihkan Akhtar, empat bulan selepas bapanya ditembak
mati, tiada sesiapa didakwa kerana membunuh. Pertama kali bercakap
kepada media, Akhtar mengatakan bapanya menerima panggilan daripada
pemberita bertanya tentang sindiket penyeludupan kereta di Langkawi,
beberapa minggu sebelum ditembak mati.
Tanpa berfikir panjang, orang nombor tiga dalam Kastam itu ke Langkawi
untuk menyiasat."Beliau merupakan seorang yang tegas dan tidak pernah
menceritakan apa-apa masalah tentang kerja dengan keluarga.
Namun saya diberitahu oleh ibu, seorang wartawan ada menelefon bapa saya
bertanyakan mengenai isu sindiket penyeludupan kereta di Langkawi,"
kata Akhtar.
Akan tetapi beliau tidak pasti sama ada bapanya sempat bercakap dengan
pemberita itu selepas pulang dari Langkawi.Akhtar turut mendedahkan
bapanya menerima banyak ugutan termasuk peluru dihantar ke rumah mereka.
Menurutnya, beliau membuat pendedahan kerana kecewa dengan layanan
dingin diberikan polis ke atas siasatan kes bapanya."Bayangkan sudah
hampir berapa bulan kes ini berlaku jangan kata suspek malah sebarang
petunjuk tidak diberikan polis," katanya.
Katanya kali terakhir dia berjumpa dengan polis pada bulan Ramadan lalu
setelah digesa beberapa kali untuk mendapatkan perkembangan
siasatan."Dalam tempoh berapa bulan selepas kejadian saya hanya berjumpa
dengan polis dalam dua atau tiga kali.
"Bagaimanapun selepas sebulan mereka langsung senyap dan saya terpaksa
mengejar polis untuk mengetahui perkembangan kes," katanya.Menurut
Akhtar, layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil
walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak
menyumbang kepada negara.
"Kita bercakap tentang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah, siapa
beliau.. tidakkah jasa beliau tidak ternilai kepada negara jadi kenapa
memperlakukan keluarga kami begini,” katanya kecewa.Tegas Akhtar beliau
hanya mahu keadilan bagi bapanya.
"Bapa saya seorang berdedikasi dan pegawai jujur tidak pernah mengambil
kesempatan terhadap kelebihan dimiliki walaupun dia boleh berbuat
demikian," katanya lagi.
Shaharuddin
yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri hanya tinggal
setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.Beliau yang
dilahirkan di Negeri Sembilan itu sudah berkhidmat selama 30 tahun
bersama Kastam dan diberikan jolokan "Mr Clean".
Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat
roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang
menaiki sebuah motosikal.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur Datuk Ku
Chin Wah dilapor menafikan kaitan pembunuhan Shaharuddin dengan sindiket
penyeludupan kereta di Langkawi.
“Ia merupakan spekulasi semata-mata,” Ku dilaporkan berkata.Laporan
sebelum ini mengatakan polis sudah menyiasat 35 orang untuk kes ini
termasuk pegawai-pegawai Kastam dan menahan dua orang untuk siasatan
lanjut.
Seorang daripadanya merupakan ahli perniagaan dan seorang lagi merupakan
pengedar alat ganti. Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan jaminan.Ku
yang dihubungi semula berhubung pendedahan terbaru ini mengatakan,
"kami masih menyiasat".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan