PAS Desak Kerajaan Tutup Kedutaan, Hantar Balik Duta Mesir
PETALING JAYA: PAS pada Selasa mendesak kerajaan Malaysia menutup
Kedutaan Mesir serta menghantar balik Duta mereka sebagai tanda
bantahan tindakan tentera Mesir menggulingkan kerajaan yang sah pimpinan
bekas Presidennya, Dr Muhammad Morsi serta melakukan pembunuhan kejam
terhadap penyokongnya.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata kerajaan juga boleh menjadi
orang tengah dengan memanggil sidang tergempar Persidangan Negara Islam
(OIC) untuk mengutuk tindakan kejam tentera Mesir bagi menyatakan
pendirian negara-negara Islam.
"Kita patut malu dengan negara seperti Turki, Equador dan Veneuzela yang
menutup kedutaan Mesir dan menghantar duta mereka balik.
"Malaysia harus menyatakan pendirian kita dengan jelas terhadap tindakan
kejam tentera Mesir jangan jadi seperti sekutu mereka Arab Saudi dan
Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bersengkongkol dengan kekejaman yang
dilakukan tentera Mesir," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan
surat mendesak kerajaan memanggil Sidang Parlimen Khas untuk mengecam
tindakan kejam tentera Mesir.
Surat berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana
Menteri, Datuk Muhammad Khairun Aseh di Pejabat Perdana Menteri di sini.
Salahuddin berkata PAS juga akan mengadakan satu meja bulat pada 1
September depan yang akan dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang.
Persidangan itu nanti akan dihadiri beberapa wakil termasuk diplomat,
NGO luar negara termasuk menjemput wakil kerajaan dan Umno bagi
membentuk satu deklarasi khas mengenai isu Mesir.
"Kami juga berharap sidang khas bukan sahaja Parlimen tetapi di semua
Dewan Undangan Negeri (DUN) dan harap negeri Pakatan Rakyat akan
memulakannya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar
menggesa kerajaan membincangkan isu Mesir dalam mesyuarat Kabinet yang
akan diadakan pada Rabu.
"PAS memohon supaya mesyuarat mingguan Kabinet yang akan diadakan pada
hari esok (Rabu) dapat membuat ketetapan rasmi kerajaan Malaysia
memanggil suatu sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat bagi
membincangkan perkembangan terkini Mesir dan mengutuk tindakan kejam
regim haram tentera yang melakukan pembunuhan ke atas rakyat Mesir yang
tidak berdosa.
"PAS dengan ini memberi komitmen untuk menyokong penuh sidang yang
dipanggil beserta dengan sebarang resolusi mengutuk kezaliman tentera
Mesir serta menyokong demokrasi dikembalikan dengan kerajaan awam serta
Morsi dikembalikan kuasanya," katanya.
mStar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan