Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Rayuan itu, Timbalan Presiden JATI, Datuk Aidit Ghazali berkata ia adalah petanda awal kemenangan umat Islam dalam usaha kerajaan mempertahankan kesucian agama rasmi negara itu.
"Usaha ini perlulah kita sujud syukur kepada Allah SWT walaupun ini sekadar sesuatu rayuan untuk menangani usaha Kristian yang nak batalkan usaha kita, namun demikian ia adalah satu kemenangan besar bagi umat Islam," katanya.
Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Ketua Bishop Roman Katolik Kuala Lumpur, Murphy Pakiam untuk membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Katholik, The Herald menggunakan kalimah Allah.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Hakim Datuk Rohana Yusuf.
Ini bermakna Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan oleh kerajaan persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 yang membenarkan gereja itu menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguannya.
Rayuan itu akan didengar pada 10 September 2013.
Aidit yang turut mengikuti prosiding tersebut di mahkamah pagi tadi juga menyeru semua kepimpinan baik dari parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO) agar terus menggembleng tenaga bagi memastikan permohonan pihak gereja tersebut gagal.
"Dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah umat Islam iaitu semua pemimpin umat Islam, majlis agama Islam, raja-raja Melayu, NGO, parti-parti politik yang mengaku diri mereka Muslim, semua kena menggembleng tenaga supaya kita akan menang seterusnya pada rayuan substentif pada 10 September depan.
"Jadi kini adalah masa bukan sekadar untuk kita 'work hard' tapi masa untuk kita 'work smart'. Dan saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana membuka pintu hati dan pintu hidayat ketiga-tiga hakim yang kebetulan beragama Islam untuk membuat sesuatu yang mana mereka boleh pertahankan di hadapan Allah dan bukan sekadar di hadapan manusia," ulasnya lagi.
Tambah Aidit lagi, meskipun beliau yakin keputusan mahkamah pada 10 September nanti akan berpihak kepada umat Islam, namun musuh agama rasmi negara itu pasti akan menimbulkan polemik lain bagi memecah-belahkan umat Islam.
Justeru katanya, dengan penyatuan dan sikap komited semua pihak yang berkepentingan dalam memelihara kesucian Islam, usaha dan hasrat musuh Islam ini pasti akan dapat digagalkan.
"Pihak-pihak Kristian ini mereka kena sedar bahawa mereka sekarang bukan sekadar berhadapan dengan ombak-ombak sahaja, (sebaliknya) mereka akan berhadapan dengan tsunami iman umat Islam," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan