PAS
menasihatkan pemimpin-pemimpin DAP dan semua pihak yang membuat bantahan
supaya menonton filem Tanda Putera terlebih dahulu sebelum mengeluarkan
sebarang komen negatif atau mengambil tindakan drastik menghalang
tayangannya.
Timbalan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, filem
arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba itu merupakan salah satu medium
terbaik menyebarkan fakta sejarah kepada generasi pasca merdeka, sekali
gus yakin semua pihak yang terlibat dalam pembikinannya melakukan kajian
terperinci.
Menurutnya, pihak yang berasakan terdapat kesilapan dalam pembikinan
Tanda Putera selepas menonton filem itu boleh membincangkannya secara
membina untuk diperbetul bagi kepentingan generasi akan datang.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan Kementerian Komunikasi dan
Multimedia menyiarkan filem itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara atau
lokasi khusus bagi semua pemimpin menontonnya dan membuat penilaian.
"Bagi saya filem itu berasaskan fakta
sejarah, jadi semua pihak yang terlibat dalam pembikinannya mesti
membuat kajian, buat satu cerapan mengenai fakta-fakta yang mahu
dipertontonkan sama ada di peringkat penulis skrip, pengarah atau
penerbit.
"Saya yakin kajian sudah dibuat sebab jika tidak dan fakta itu salah,
maka akan dikritik, ditohmah dan macam-macam lagi kerana kita tahu
sejarah tidak boleh diubah. Cuma untuk berlaku adil saya mencadangkan
tontonlah dulu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Filem itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng melarang tayangannya di negeri ini kerana
mendakwa terdapat babak yang berbaur perkauman.
Walau bagaimanapun, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kemudiannya
menyatakan beliau tidak pernah menghalang tayangannya sebaliknya hanya
menasihatkan pengusaha panggung wayang di negeri tersebut berbuat
demikian.
Mengulas mengenai arahan Guan Eng itu, Takiyuddin yang juga Ahli
Parlimen Kota Bharu mengakui beliau turut keliru dengan kenyataan
bercanggah Ketua Menteri berkenaan.
Sementara itu, mengulas cadangannya supaya semua Ahli Parlimen dan
Senator dipertontonkan filem tersebut, menurut Takiyuddin, usaha
tersebut boleh dilakukan bagi memberi peluang kepada semua pihak
menyatakan pandangan dan kritikan.- sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan