salam

Isnin, 9 Julai 2018

Usah dimarah bahasa Melayu Tommy tak petah

Usah dimarah bahasa Melayu Tommy tak petah: ULASAN | Dia tidak mahir berbahasa Melayu kerana kerajaan Umno selama 60 tahun memandang penggunaan bahasa rasmi iu sambil lewa.





Subky Latif  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini


   
ULASAN | Saya antara yang
masyghul terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
mencadangkan Tommy Thomas menjadi peguam negara.


Bukan kerana dia kekok berbahasa Melayu, tetapi bagi jawatan penting
seperti itu bagi sebuah negara Islam sewajarnya penyandang seorang
Islam.


Orang Islam itu - dengan sedikit sebanyak pengetahuannya tentang
Islam - menjadi pertimbangan memandunya melihat aspek Islam dalam
apa-apa tindakan dan perkembangan tentang Islam, sekalipun undang-undang
yang terpakai jauh Islamnya.


Kerana perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan,
maka penjawat peguam negara, ketua hakim negara, speaker apa-apa dewan
perundangan dan lain-lain eloklah beragama Islam supaya kehendak Islam
itu diketahuinya.


Adapun kelayakan Tommy sebagai pengamal undang-undang tidak
dipertikai. Kerana itulah Kelantan menggunakan khidmatnya dalam membela
kepentingan Kelantan.


Dalam kes yang khidmat dan nasihatnya diperlukan, tidak menjadi Islam dan bahasa Melayu sebagai prasyarat.


Mungkin kecekapan dan kemahirannya menyamai Tan Sri Shafee Abdulah, ketua peguam yang membela kes Najib Razak.


Lidah buatan England


Tommy tidak pernah terfikir untuk jadi peguam negara. Dr Mahathirlah
yang mahukannya. Dia bukan dari pengamal undang-undang kerajaan. Dia
dari luar kerajaan.


Dia tidak mahir berbahasa Melayu kerana kerajaan Umno selama 60 tahun
memandang penggunaan bahasa rasmi iu secara sambil lewa. Tiada galakan
supaya bahasa itu dimartabatkan. Bahkan rejim Najib sendiri
meletakrendahkan bahasa itu setaraf mahkamah syariah - terendah daripada
semua mahkamah.


Jangan marah Tommy jika dia tidak petah berbahasa Melayu.


Marah semua perdana menteri yang lidah mereka "made in England". Apa sumbangan Najib untuk memartabatkan bahasa rasmi? Lebih kurang saja dengan DAP.


Apa sumbangan Umno memperkasakan bahasa kaumnya? Hanya sejurus
sebelum merdeka dan sejurus selepas merdeka. Selepas 1967 - sepuluh
tahun selepas merdeka - kalaupun ada pejuangan bahasanya ialah
cacamerba.


Jika penyokong Najib menyorak Tommy tidak bertutur bahasa Melayu
dalam mukadimah sidang medianya selepas Najib didakwa, ia ibarat
menyorak ketempangan kerajaan Umno dalam pelaksanaan bahasa.


Tiba-tiba tukang sibuk Umno menyorak peguam negara atas
kekurangannya. Sejak bila generasi Umno Najib peka dengan perjuangan
bahasa?


Lemah yang kecil


Umno terus membisu atas tuntutan para pendidik bagi memansuhkan
pengajaran dan peperiksaan sains dan matametik dalam bahasa Inggeris.


Umno boleh marah, tapi jangan marah Tommy yang jadi mangsa cacamerba
Umno atas isu bahasa. Pergi berarak ke pejabat Dr Mahathir. Tempelak dia
memilih pakar undang-undang tapi tidak pakar bahasa Melayu jadi peguam
negara.


Saya difahamkan Tommy tidak berminat bila ditawarkan jawatan itu.
Banyak susah dan kerugiannya. Tetapi malu alah atas tawaran perdana
menteri baru, dia menerimanya.


Perdana menteri memerlukan sokongan semua pihak dalam usaha memandikan comot kerajaan yang dikosongkan oleh Umno dan Najib.


Istana sendiri dikatakan bertanya akan kebijaksanaan perdana menteri
mencadangkan seorang bukan Melayu bagi jawatan itu. Kononnya Anwar
Ibrahim terpaksa memahamkan para baginda tentang rasional pemilihan
Tommy.




Kesianlah Tommy akan beban yang tidak dicarinya. Dia diamanahkan,
bukan dia mencari jawatan itu. Dia layak atas kepakarannya, cuma kekok
berbahasa Melayu, kerana ia bukan isu yang dipentingkan oleh kerajaan
dan Umno.


Jika pun kekurangan Tommy bertutur Melayu itu satu kelemahannya,
tetapi ia amat kecil dibandingkan beban kelemahan Najib, yang bebannya
mungkin seberat Gunung Uhud.


Kelemahan Tommy itu tidak mengurangkan pencarian keadilan dalam
perbicaraan Najib. Ketika semua mahu Najib dilayan seadilnya, maka kita
jangan tidak berlaku adil pula ke atas Tommy. Saya menghormati tinggi
terhadapnya.



SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa
Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan
judul Kesianlah Si Tommy Thomas.



Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...