• Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss  
  • Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
IPOH - Pemuda Pas dilihat masih belum mampu untuk menerima keterbukaan yang cuba dibawa sesetengah pemimpinnya.

Ketua Pemuda Pas Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, kekalahan beliau pada pemilihan Pemuda Pas Pusat bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas baru-baru ini menjelaskan Pemuda Pas selesa dengan suasana yang ada kini.

Beliau berkata, kekalahan itu bukan menjadi penghalang kepadanya untuk terus menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada parti.

“Saya berterima kasih kepada perwakilan yang sudah pun membuat pemilihan. Kalah,  menang adat pertandingan dan saya tidak berkecil hati.

“Mungkin mereka (perwakilan) ada analisa mereka tersendiri berdasarkan prestasi atau status calon yang bertanding. Mungkin mereka inginkan gelombang yang bersifat dalaman dan belum bersedia ke arah politik baru,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kelantang beliau dalam memperjuangkan parti akan tetap diteruskan walaupun mungkin ada segelintir tidak menyukainya.

Raja Ahmad Iskandar berkata, beliau tidak akan mengubah pendirian atau gaya tegasnya sebelum ini demi mendapatkan sokongan atau memenangi jawatan.

“Kita bawa suara Pemuda untuk memastikan parti terus relevan dan diterima oleh semua. Namun, jika ada yang tidak mahu menerima, kita tidak boleh paksa.

“Apa pun yang berlaku, saya tidak akan ubah cara dan gaya lantang untuk bersuara serta mengkritik demi kepentingan Pas dan Pakatan Rakyat,” katanya yang sebelum ini ‘berperang’ dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung saranan memansuhkan parti-parti yang menggunakan bersifat perkauman dan keagamaan.

Mengenai kemenangan wakil Perak untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, beliau berpendapat kemenangan itu merupakan suara akar umbi yang mahukan pemimpin Perak membantu memantapkan Pas.

Katanya, tokoh yang menang pada pemilihan berkenaan merupakan nama besar dalam parti dan PR negeri serta berpengalaman.

“Dengan kepercayaan itu, kita yakin suara dari Perak tidak akan terpinggir malah diguna pakai untuk memantapkan parti berdasarkan pengalaman yang ada pada mereka,” katanya.

sumber