salam

Sabtu, 21 Julai 2018

SST lebih bebankan rakyat tanggapan salah

SST lebih bebankan rakyat tanggapan salah: ULASAN | Sejak GST dimansuhkan pada 1 Jun lalu, kadar inflasi berada di tahap terendah sejak Februari 2015.



Tony Pua  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini


   
ULASAN | Menurut Presiden
Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Datuk Abd Aziz Abu Bakar,
kenaikan harga barang akan berlaku apabila terjadinya cukai berganda, di
mana margin keuntungan yang akan dikenakan kepada saluran perniagaan
seperti pemborong dan peruncit adalah pada nilai harga selepas dikenakan
cukai jualan 10 peratus.


“Katakanlah harga sesuatu barang itu RM10. Pengilang akan jual kepada
pihak pemborong dengan nilai RM11 disebabkan cukai 10 peratus yang
terpaksa ditanggung pengilang. Kemudian pemborong itu pula yang akan
meningkatkan harga jualan kepada peruncit (bermula RM11) sehinggalah
pengguna yang akhirnya terbeban.


Itulah situasi cukai berganda yang dimaksudkan dan sekali gus harga
barang memang akan meningkat naik. Itulah kelemahan SST,” katanya ketika
menurut laporan Utusan Online pada 17 Julai lalu.


Huraian Datuk Abdul Aziz mengenai impak SST ke atas harga barang-barang dan perkhidmatan adalah salah.


Kesan GST pada inflasi lebih besar


Pertama sekali, sejarah pelaksanaan GST di Malaysia telah membuktikan
bahawa cukai itu menyebabkan kadar inflasi negara meningkat secara
mendadak.


Kadar inflasi meningkat sehingga 3.1 peratus apabila GST dilaksanakan
pada tahun 2014, berbanding dengan 1.7 peratus dan 2.1 peratus pada
2012 dan 2013.


Pada Jun 2018, kadar inflasi telah turun kepada 0.8 peratus berbanding 1.8 peratus pada bulan Mei 2018.


Ia merupakan kadar inflasi yang paling rendah sejak Februari 2015 dan
penurunan kadar inflasi ini jelas disebabkan oleh pemansuhan GST.


SST cukai seperingkat, bukan berperingkat


Dalam contoh yang diberikan oleh Abd Aziz, jumlah kutipan cukai oleh
kerajaan adalah hanya RM1 daripada harga jualan produk sebanyak RM10
daripada pengilang kepada pemborong.


Akan tetapi kerajaan tidak lagi selanjutnya mengutip sebarang cukai daripada pemborong, pengedar atau peruncit.


Maksudnya, harga jualan antara pemborong, pengedar dan peruncit dan
keuntungan yang dapat diperolehi di setiap peringkat jualan adalah
tertakluk kepada kuasa pasaran.


Ini berbanding dengan cukai pelbagai peringkat (multi-stage tax)
seperti GST, di mana cukai dikutip di setiap peringkat jualan. Senario
di bawah dapat menunjukkan bagaimana kadar 6 peratus GST dapat mengutip
lebih cukai daripada kadar 10 peratus SST.


Mengikut contoh sama, pengilang akan mengutip 6 peratus GST daripada RM10 atau RM0.60 daripada pemborong.


Pemborong akan menjual barang tersebut dengan harga RM13 dan mengutip
cukai GST sebanyak RM0.78 daripada pihak pengedar. Pada masa sama,
pemborong akan menolak RM0.60 daripada nilai GST yang dikutip sebagai
“refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pengilang.


Pengedar akan menjual barang tersebut dengan harga RM16 dan mengutip
cukai GST sebanyak RM0.96 daripada pihak peruncit. Pada masa sama,
pengedar akan menolak RM0.78 daripada nilai GST yang dikutip sebagai
“refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pemborong.


Peruncit akan menjual barang tersebut dengan harga RM20 dan mengutip
cukai GST sebanyak RM1.20 daripada pihak pengguna. Pada masa sama,
peruncit akan menolak RM0.96 daripada nilai GST yang dikutip sebagai
“refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pengedar.


Kesimpulannya, jumlah GST yang telah dikutip oleh kerajaan adalah
RM0.60 + RM0.18 + RM0.18 + RM0.24 ataupun sejumlah RM1.20 daripada
pengilang, pemborong, pengedar dan peruncit. Contoh ini dirumuskan dalam
Jadual di bawah:


Jumlah cukai yang dikutip daripada cukai berperingkat GST 6 peratus
sebanyak RM1.20 adalah lebih besar daripada nilai RM1.00 yang dikutip
daripada cukai seperingkat SST 10 peratus sebanyak RM1.00.


Contoh di atas juga menunjukkan bahawa GST merupakan satu sistem
cukai yang lebih rumit, susah difahami dan lebih membebankan semua pihak
dari segi pelaksanaan dan pengurusan, berbanding dengan cukai
seperingkat SST.


Kutipan SST lebih rendah dari GST


Sebelum kadar GST disifarkan pada 1 Jun 2018, anggaran kutipan GST
bagi tahun 2018 adalah RM44 bilion berdasarkan sasaran kerajaan
terdahulu. Akan tetapi, cukai SST dianggarkan hanya akan mengutip cukai
sekitar RM21 bilion setahun.


Oleh itu, jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, kerajaan akan
dapat ‘memulangkan semula’ RM23 bilion kepada rakyat. Sebagai presiden
MATA, Adb Aziz tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan kenyataan
bahawa kos sara hidup akan lebih membebankan jika SST dikembalikan.



TONY PUA ialah setiausaha publisiti kebangsaan DAP dan anggota parlimen Damansara.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...