salam

Ahad, 1 Julai 2018

Tak Sampai 24 Jam Jadi Presiden UMNO, Zahid Hamidi Dipanggil SPRM







Zahid sahkan ke SPRM esok

Alyaa Alhadjri  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini

 

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau
diminta hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) esok.


Anggota Parlimen Bagan Datuk itu berkata ada beberapa isu yang perlu dijelaskan kepada agensi antirasuah berkenaan.


Antaranya, kata bekas timbalan perdana menteri tersebut, mengenai
sebuah yayasan milik keluarga yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti
amal.


"Yayasan tersebut adalah untuk aktiviti (seperti) pembinaan masjid,
maahad tahfiz, rumah anak yatim dan beberapa aktiviti kebajikan lain
seperti sedekah dan lain-lain.


"Wang dalam yayasan keluarga saya adalah sumbangan saya sendiri dan
beberapa kawan yang hendak melakukan amal jariah," katanya pada sidang
media di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.


Ia adalah sidang media pertama Ahmad Zahid sebagai presiden Umno.
Turut hadir Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua
daripada tiba naib presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Kata Ahmad Zahid hal mengenai yayasan itu akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam perjumpaan beliau dengan pegawai SPRM nanti.


Janji akan telus


Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih merundingkan waktu pertemuan tersebut.


Terdahulu media melaporkan SPRM meminta Ahmad Zahid memberi
keterangan kepada agensi berkenaan berhubung beberapa dakwaan yang
dikaitkan kepadanya.


Memetik sumber The Star Online melaporkan antara butiran
yang ingin diketahui SPRM ialah dakwaan Ahmad Zahid menggunakan dana
yayasan tersebut untuk kepentingan peribadi.


Turut menarik perhatian ialah dakwaan pemimpin Umno itu mengenai
pertemuannya dengan seorang anggota keluarga bangsawan Arab Saudi yang
mengaku memberikan derma berbilion ringgit kepada Datuk Seri Najib
Razak.


Untuk rekod, Najib - yang mengosongkan kerusi presiden Umno kerana
kalah dalam pilihan raya umum lalu - sedang disiasat berhubung beberapa
isu, termasuk skandal 1MDB.


Najib sendiri sudah memberikan keterangan kepada SPRM sebelum ini.


Siasatan berkenaan juga menyaksikan pihak berkuasa membekukan
kira-kira 900 akaun bank termasuk milik Ibu Pejabat Umno Malaysia serta
Umno Selangor kerana disyaki mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan
milik penuh kerajaan itu.


Ditanya sama ada pertemuan dengan SPRM itu juga melibatkan isu
pembekuan akaun Umno, Ahmad Zahid tidak dapat memberikan kepastian.


Katanya, beliau tidak tahu apa soalan yang akan ditanyakan oleh SPRM esok.


"Tapi saya akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan saya perlu telus," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...