salam

Selasa, 9 Februari 2016

Pentingnya Pengajian Akidah 2 : Segi Penyampaian Akidah, Al-Ghazali Dalam Mendepani Empat Kumpulani.



February 9, 2016

Akidah Dalam Mendepani Empat Kumpulan

BBB, 29 Rabiul Akhir 1437 = 08 Februari 2016 (Isnin):

Dalam Paparan Kedua dari segi penyampaian akidah, Al-Ghazali melihat 4 kumpulan yang didepani.
Menurutnya perlu ada pendekatan yang sesuai bagi setiap kumpulan, agar lebih memberi kesan maksimum. Al-Ghazali melihat pihak yang mau menyampaikan akidah kepada  sasaran empat kumpulan, ialah sebagai seorang doktor pakar yang tahu jenis-jenis penyakit dan tahu jenis-jenis ubat yang sesuai bagi setiap kumpulan. 
 
Kumpulan-kumpulan berkenaan adalah sebagai pesakit-pesakit atau yang dikenalpasti tidak sakit.  Dalam hal ini pihak yang menyampaikan, iaitu dibandingkan sebagai doktor, tapi jika bukan pakar atau bukan doktor, maka adalah dibimbangi boleh merosakkan pesakit dan penyakit boleh membawa kepada lebih parah. Perlu diingat dalam paparan kedua ini juga ialah pendekatan iktisad (sederhana dan memada) di dalam menyampaikan pengajaran i`tiqad secara iqtisad. Al-Ghazali melihat, jika pesakit diberi ubat berlebih-lebihan dan tidak menurut aturan boleh membahaya dan merosakkan pesakit, demikian di dalam menyampaikan keilmuan akidah,  jika melampau dan berlebih-lebihan seumpama membicarakan ketuhanan secara melampau seperti  falsafah dan Mu`tazilah, bukan saja tidak menyenangkan, bahkan merosakkan.
 
Kumpulan Pertama yang sudah mantap dengan akidah.
 
Dalam masayarakat umat sudah ada yang faham tentang agama Islam, sudah mempunyai pegangan akidah yang teguh. Mereka patuh di dalam menunaikan ibadat – Wajib dan sunat. Menjadi jamaah setia di masjid, sering mengkuti pengajian-pengajian dan hidup dalam suasana harmori dan ketenteraman. Kumpulan setia keagamaan  seperti ini dan jujur dalam kehidupan, menurutnya dari  sudut `AI-iqtisad fi al-I`tiqad, tidak perlu lagi dibebankan mereka dengan pengajian aqidah secara mendalam, cukup bagi mereka dengan pegangan yang mengukuhkan amalan mereka. Adalah dibimbangkan dengan menyeret mereka membicarakan persoalan akidah dengan perbalahan persoalan tidak berkesudahan, mengganggu ketenangan pegangan dan keharmonian amalan. 
 
Kumpulan Kedua Kumpulan Kufur Dan Bid`ah
 
Kumpulan sedemikian adalah bahaya dan boleh mengancam kehidupan dan  ketenteraman.  Pengislaman mereka adalah pura-pura dan kerana takut terancam, tetapi bila ada kesempatan mereka meraihnya bagi kepentingan. Ciri sedemikian seperti Musailamah al-Kadhdhab dan pengikut-pengikutnya yang menentang Nabi, kumpulan yang menyeleweng  dan menentang Abu Bakar seperti enggan membayar zakat dan munafiqun. Golongan yang mencabar dengan cabaran keras sedemikian, maka hendaklah mendepani mereka dengan kekerasan. Mereka perlu ditentang dengan cambuk dan pedang, dan nyawa menjadi taruhan bagi mengembalikan mereka patuh kepada Islam. Di dalam memulihkan akidah golongan yang sedemikian hendaklah juga dengan jalan kekerasan dan diharapkan dengan kekerasan akan menyedarkan  mereka dan kembali kepada Islam.  Seperti peperangan yang dilakukan oleh Sayyiduna Abu Bakar terhadap golongan yang murtad dan enggan membayar zakat  bagi mengembalikan mereka kepada Islam.
 
Kumpulan Ketiga: Golongan Taqlid
 
Golongan seumpama ini walaupun kelihatan tidak berbahaya kepada Islam dengan sikap taqlid mereka, tetapi golongan taqlid lebih memberi kesan negatif kepada Islam. Golongan seperti ini tiada keyakinan, tidak mampu ke depan dan tidak mampu menerajui kepimpinan. 
 
Golongan yang bersifat taqlid ini adalah perlu kepada bimbingan dan pengajian tentang akidah lebih mendalam yang boleh mengangkat mereka dari status bertaqlid. Sesungguhnya bertaqlid tidak selamat dari kegelinciran yang boleh menjerumuskan mereka dari jatuh ke lubang kesalahan.. Ini bukan sahaja membahayakan dirinya , tetapi pengikut-pengikut dan juga golongan taqlid yang lain. Tumpuan pemulihan akidah perlu dilakukan terhadap mereka. Apabila dapat dipulihkan, mereka akan berada di dalam kelompok yang selamat dan sempurna dari segi akidah dan menjadi aset dan modal bagi mengukuh umat dan Islam.
 
Kumpulan Keempat Golongan Yang Sesat
 
Kumpulan terakhir ini adalah berada dalam kedudukan bahaya, status mereka pada kedudukan kedua selepas kedudukan paling bahaya ialah golongan yang kufur dan bid`ah. Golongan sesat, adalah memberi akibat pada dirinya dan orang lain, juga menyesatkan  orang lain. Kesesatan ialah akibat dari tidak berilmu dan tidak mengetahui sesuatu tentang kedudukan yang sebenarnya. Sesat kerana diri tidak berilmu dan tersekat dan tidak mengetahui maklumat sebenar. Amalan syirik seperti menyembah selain dari Allah, adalah perbuatan yang syirik dan sesat. Kesesatan ini kadang-kadang menyeret orang lain sama di dalam kesesatan. Orang kafir Quraiy  menyembah berhala, kesasatan diikuti oleh kaum- kaum lain. Kesesatan adalah kejahilan. Bila Rasulullah s.a.w.  dibangkitkan menjadi Rasul, mereka menentang kerana kesesatan. Kesesatan juga mencetuskan sengkita yang membawa kepada peperangan dan sebagainya. Banyak tenaga dan usaha bagi mengatasi dan menghapuskan kesesatan. Mengatasi kesesatan tidak lain dari mendapat ilmu. Dakwah Rasulullah tidak lain dari usaha Baginda menyampaikan kebenaran, terutama dari segi akidah, iaitu mengerti dan mengakui kewujudan Tuhan yang esa – Allah. Melalui kefahaman membawa kepada kepatuhan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala larangan.
 
Jadi kesesatan yang ada di dalamnya elemen jahil musuh bagi keilmuan, sebab itu  individu dan masyarakat mesti disedarkan dengan keilmuan. Usaha mengatasai kesesatan dan kejahilan adalah usaha berterusan dan silih berganti dari satu generasi kepada generasi. Akidah adalah penting sebagai pendekatan yang menyedarkan mereka dengan kebenaran dan membawa individu dan masyarakat ke jalan yang benar.
 
Perbincangan Al-Ghazali berhubung dengan empat perkara perlu dilakukan terhadap kumpulan yang berlaianan dengan pendekatan yang berlainan. Apa yang ditekankan mencerminkan konsep `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad` Al-Ghazali, iaitu bagi kumpulan yang sudah mantap akidah , biarlah mereka dengan kedudukan mereka yang baik itu, tetapi bagi yang kufur, bid`ah, taqlid, sesat dan jahil, perlu di atasi dengan penyampaian  akidah yang boleh membaiki dan memulih mereka kepada pegangan akidah yang betul. 
 
Nampaknya konsep `Iqtisad` apa yang  mau dicapai Al-Ghazali, iaitu memulihkan akidah ke tahap mantap. Dengan harapan Al-Ghazali sedemikian  bererti keilmuan akidah  perlu dipelajari secara terhad dan sederhana bagi orang awam sebagai ilmu fardu. Sebaliknya Al-Ghazali menegaskan bahawa pengajian aqidah secara mendalam perlu didalami oleh kalangan yang berkelayakan sebagai menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...