salam

Selasa, 9 Februari 2016

Pentingnya Pengajian Akidah 1 : Al-Ghazali di dalam kitabnya `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad`


Pentingnya Pengajian Akidah: Memahami Maksud Iqtisad Dalam I`tiqad

BBB,  28 Rabiul Akhir 1437 = 07 Februari 2016 (Ahad):

Dalam paparan pertama Al-Ghazali di dalam kitabnya `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad` bahawa pentingnya pengajian akidah bagi mengukuhkan akidah seseorang dalam agama Islam. Dan maksud dengan ilmu ini kata Al-Ghazali ialah mendirikan burhan di atas wujudnya Allah Ta`ala dan sifatNya dan af`alNya dan membuktikan kebenaran rasul. Memahami keilmuan ini sebagaimana kata Al-Ghazali pada pembukaan kitabnya membawa kepada terbukanya tentang hakikat agama, mengukuhkan hujah berdepan dengan mereka yang sesat lagi mulhid, membersih jiwa dari waswas syaitan dan membersihkan damir (hati kecil) dari sebarang cucukan, menyuburkan hati dengan cahaya keyakinan hingga mendapat hidayah kepada rahsia-rahsia yang diturunkan ke atas lidah NabiNya dan bersihnya Nabi s.a.w. Sayyidul Mursalin. 
 
Semoga terhindar dari  sikap `talfik` di antara suruhan syara` dan kewajaran akal  dan tidak  membawa kepada sikap jumud dan terikut-ikut (taqlid). Sebaliknya sikap mengagungkan akal sebagaimana diharungi golongan falsafah dan Mu`tazilah akhirnya bertembung dengan perlanggaran yang memutuskan syara`. Pendekatan mereka membawa kepada kerosakan yang jauh dari mengukuhkan.
 
Dari pembicaraan di atas dapat kita memahami konsep `Iqtisad di dalam I`tiqad Al-Ghazali. Beliau  berpendapat. `` Wajib menghormati kaedah-kaedah i`tikad dengan melazimkan iqtisad dan beriktimad di atas jalan yang betul (al-sirat al-Mustaqim). Bermaksud tidak melampau dari segi  kebebasan akal seperti falsafah dan Mu`tazilah dan mengikut jalan yang betul bermaksud Al-Sunnah, iaitu melalui firman Allah dan Hadith Baginda s.a.w. dan melalui burhan akal yang dikenal dengannya kebenaran apa yang dikhabarkannya. Al-Ghazali bertanya, ``Bagaimana boleh membawa kepada pertunjukan kepada kebenaran kalau semata menurut jejak akal yang terhad ?
 
Dua perkara yang dapat difahami dari perbincangan Al-Ghazali, pertama bahawa maksud Iqtisad dari segi I`tiqad, ialah tidak melampau dari segi menerokai rasional akal yang terhad, tetapi gunakan dia secara terhad mengiringi kebenaran wahyu. Kedua Al-Ghazali secara keras menyerang falsafah dan Mu`tazilah, Barangkali dengan serangan terhadap falsafah  membuktikan bahawa karangan Al-Iqtisad fi al-I`tiqad ialah hasil karangan selepas dari karangan-karangan falsafahnya, maksudnya bahawa karangan ini dihasilkan pada peringkat akhir dari karangan dan hayatnya. Perlu juga diberi perhatian bahawa bukanlah maksud `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad`  ringkasnya karangan berkenaan dan terhad kepada pembicaraan tentang Allah dan Rasulnya sahaja.
 
Dari segi kepentingan ilmu akidah ialah membetulkan pegangan akidah agar kehidupan tidak kehilangan arah dan pedoman, dia tidak terjatuh ke dalam syak dan zan. Lantaran syak dan zan meragukan yang tidak mententeramkan jiwa, menjadikankan jiwa resah dan bimbang. Kebimbangan lebih-lebih lagi  dengan kesedaran bagi menghadapi maut yang pasti datang. Bertanya Al-Ghazali, ``Bagaimanakah mengatasi kerisauan, lebih dari itu berdepan dengan kenyataan maut yang pasti mendatang ?``
 
Keraguan tidak lain dari kejahilan, lantaran kejahilan adalah musuh utama bagi diri yang membawa kepada kesalahan. Al-Iqtisad fi alI`tiqad` juga memberi maksud, bahawa keperluan minima (Iqtisad) dari segi  i`tiqad amat perlu bagi mengatasi kejahilan, seterusnya membawa kepada ma`rifat dan membawa kepada hidayah dan kebenaran yang pada puncaknya kata Al-Ghazali,
``Sepenting-penting perkara bagi semua makhluk, khususnya insan, ialah kebahagiaan abadi, menjauhi kesiksaan berterusan.``
 
Sesungguhnya datang bersama Nabi perkhabaran memberitahu kepada semua makhluk bahawasnaya Allah Ta`ala di atas hamba-hamba ada kewajipan mereka, bertanggungjawab di atas perbuatan dan perkataan mereka dan akidah mereka, sesungguhnya siapa yang lisannya tidak bercakap dengan kebenaran, hati kecilnya tidak tergulung dalam kebenaran dan tindakan anggotanya tidak secara betul dan adil, maka pengakhirannya balasan di dalam nereka.
 
Sebenarnya `Al-Iqtisad fi al-I`tiqad` menurut Al-Ghazali,  setiap hamba tidak perlu kepada falsafah mendalam dan perbahasan yang bercabang, Bagi membuka pintu Al-Iqtisad dalam I`tiqad, ialah persediaan dalam diri bermula dengan pertembungan dengan luar diri, dengan memerhati keajaiban-keajaiban ciptaan alam yang sebenarnya sebelum memahami akidah, sudah mula  memberi sentuhan ketenangan. Bunga-bunga akidah sebenarnya mulai berkembang bersama sentuhan hati kecil yang kagum dan mengakui ketakjuban ciptaan dan ianya boleh berputik unsur akidah apabiali menyusurinya pertanyaan-pertanyaan berhubung dengan alam, bagaimanakah kewujudannya, apakah dia ada begitu sahaja, ataukah ada kekuasaan disebaliknya. Kalau ada apakah kekuasaan berkenaan. Ini membawa kepada pengertian tentang kewujudan Pencipta yang membawa kepada pengenalan tentang ketuhanan.
 
Kalau demikian kata Al-Ghazali, sebagai tahap permulaan bibit pengertian tentang ketuhanan, timbul persoalan, tetang kekuasaan, kebesaran apakah Dia Hidup dan berkemahuan. Tapak yang sedia pada diri seseorang sedemikian memudahkan untuk disemai dengan aspek-aspek akidah rendah tentang ketuhanan dan diperluaskan kepada wujudnya perutusan yang membawa hidayah keislaman yang membawa bukan saja soal kewujudan alam dan Pencipta dan perutusan kerasulan, tetapi juga melibatkan kehidupan manusia di dalam alam ini yang tertakluk kepada aturan-aturan yang boleh meneruskan kelangsungan hidup yang perlu berusaha mencari rezeki yang disediakan Pencipta, dan di dalam kehidupan perlu ada aturan berhubung dengan masyarakat keliling, bahkan dengan binatang dan  tumbuhan dan alam seluruhnya. Kalau tidak menurut aturan-aturan alamiah nescaya akan binasa. 
 
Jadi di dalam kehidupan individu perlu menjaga dan memelihara dengan hubungan keliling untuk kelangsungan. Jika individu satu aspek kecil di dalam kejadian alam  perlu mengikuti fitrah kejadian alam, bagaimanakah dengan keseluruhan alam yang begitu luas dan berpelbagai dapat berada dalam keimbangan dan keharmonian, apakah ianya sesuatu yang tersendiri. Sudah tentu tidak, jika diri yang kecil terpaksa menjaga aturan bagi melangsungkan kehidupan, tentulah ada penjaga dan pengatur terhadap alam sehingga berterusan dengan keadaannya yang teratur berterusan. Demikian olahan dari rangka pendekatan yang dibuat Al-Ghazali yang mencetuskan kesedaran akidah yang dipertingkatkan melalui perutusan Rasul dan kandungan Al-Qur`an.. Pengolahan keilmuan dapat dipaparkan kepada  mereka yang sedia ada tapak untuk menerima benih akidah yang boleh menyuburkannya.. Inilah antara apa yang dikatakan Al-Ghazali melalui Kategori Pemaparan Pertamanya, bahawa pentingnya kesedaran keilmuan yang mengukuhkan pegangan keagamaan.
 
Daripada pemaparan Al-Ghazali dapat difahami bahawa menanam jiwa keagamaan dan menegakkan asas akidah adalah penting bagi setiap orang Islam. Keperluan akidah bagi orang awam ialah bersifat asas dan `Iqtisad` dalam i`tiqad. Maksud Iktisad dalam I`tiqad, bukan bererti ringkas dan terhad, tetapi juga kepada tahap memada bagi awam dan bukannya perlu mendalam. Al-Iktisad fi al-I`tiqad juga bermaksud tidak melampau dan hanyut seperti pendekatan falsafah dan Mu`tazilah, tetapi mengimbangi antara akal dan pertunjuk Al-Qur`an.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...