Pemantau
 jenayah MyWatch menunding jari ke atas pasukan polis terhadap cubaan 
membunuh ketuanya R. Sri Sanjeevan, selepas sebulan kes tembakan 
berlalu.
Penasihat MyWatch S. Gobikrishnan semalam mendedahkan 
Sanjeevan telah menerima satu panggilan telefon ugutan daripada salah 
sebuah balai polis di Negeri Sembilan sebelum ditembak.
Pemanggil
 memberi amaran Sanjeevan akan ditembak kerana telah menghubungi Bukit 
Aman bagi mengadu terhadap aktiviti perjudian yang berleluasa di negeri 
tersebut.
Gobikrishnan berkata Sanjeevan telah pergi ke balai 
polis Jelebu untuk mengadu terhadap aktiviti perjudian tetapi mereka 
tidak mengendahkannya.
"Dia serta-merta menghubungi Bukit Aman 
dan 15 minit kemudiaan beliau menerima satu panggilan ugutan," kata 
beliau dalam satu forum "Jenayah semakin parah: Persepsi atau Realiti" 
di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu kota semalam.
Gobikrisnan
 menambah semakan mendapati rekod panggilan tersebut dibuat daripada 
balai polis Jelebu, malah laporan juga telah dibuat dengan polis Negeri 
Sembilan tetapi kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan 
susulan.
"Alasan diberi adalah mereka tidak dapat mencari individu yang membuat panggilan tersebut," kata Gobikrishnan.
Maklumat
 tersebut juga disampaikan kepada pengarah siasatan jenayah (CID) pusat 
Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu mesyuarat di Bukit Aman minggu lepas 
yang turut dihadiri oleh bapa Sanjeevan, P. Ramakrishnan.
"Kami telah membuat permintaan kepadanya untuk membuka kes tersebut bagi siasatan lanjut," kata Gobikrishnan lagi.
Bulan lepas, beberapa hari selepas tembakan Sanjeevan di Bahau, Gobikrishnan telah dipanggil polis untuk soal-siasat.
Beliau
 mendakwa pihak polis sebaliknya tidak bertanyakan tentang soalan 
berkaitan tembakan Sanjeevan, mereka lebih berminat untuk mengetahui 
tentang komen yang ditulisnya di laman Twitter.
Komennya 
bertulis, "kongsi gelap lakukannya, dibawah arahan pihak berkuasa", 
merujuk kepada tembakan ke atas Sanjeevan pada 27 Julai.
Sanjeevan
 telah ditembak oleh dua suspek yang menunggang motosikal ketika mangsa 
berhenti di persimpangan lampu isyarat di Bahau.
Minggu lepas, Sanjeevan berjaya menjalani pembedahan bagi membuang peluru pada bahunya dan tulang rusuknya.
Media melaporkan semalam Sanjeevan kelihatan hilang ingatan selepas kembali sedar.
The Star melaporkan bapa Sanjeevan berkata anaknya tidak ingat terhadap cubaan membunuh ke atasnya mahupun mengenali sesiapa.
Doktor berkata Sanjeevan mengalami amnesia berkemungkinan kerana koma selama 10 hari.
Spekulasi
 kuat mengatakan anggota polis terlibat secara langsung dalam tembakan 
tersebut. Malah terdapat dakwaan mengatakan kerana Sanjeevan telah 
melampaui batas. - Minsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan